KERAJAAN akan menyasarkan lebih banyak produk tempatan menembusi pasaran global menerusi Belanjawan 2027, dengan tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pemula.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, selain sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI), kerajaan akan meningkatkan akses kepada pembiayaan, pendigitalan, inovasi dan pengembangan pasaran.
“Tumpuan akan terus diberikan kepada sektor seperti semikonduktor, peralihan tenaga, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) serta kewangan Islam.
“Kerajaan memperkasa PMKS dan syarikat pemula (start-up) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan akses kepada pembiayaan, pendigitalan, inovasi serta pengembangan pasaran agar lebih banyak produk dan perkhidmatan tempatan mampu menembusi rantaian nilai global sebagai Made by Malaysia,” katanya.
Amir Hamzah berkata demikian pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Beliau pada masa yang sama berkata, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan memperluas peluang pekerjaan berkualiti, selain menangani cabaran kos sara hidup menerusi pendekatan bersasar dan mampan.
“Matlamat utama adalah untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai dengan lebih menyeluruh oleh seluruh lapisan masyarakat,” tambahnya.
Kerajaan akan memperkukuh jaringan perlindungan sosial, khususnya bagi golongan rentan menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil dan rakan strategik.
Mutu perkhidmatan awam juga diberi tumpuan menerusi pengukuhan sistem pendidikan, peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan serta pembangunan modal insan sebagai asas pertumbuhan ekonomi inklusif selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober depan.





