Kerani rugi RM452,000 diperdaya ‘bos’ palsu di WhatsApp

SEORANG kerani kewangan sebuah syarikat mengalami kerugian RM452,000 selepas melakukan tiga transaksi wang atas arahan individu yang menyamar sebagai bosnya menerusi aplikasi WhatsApp, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 50 tahun menerima mesej daripada individu terbabit ketika berada di pejabat di Jalan Kamaruddin, pada jam 3.24 petang.

Menurutnya, individu berkenaan menggunakan nama panggilan ‘Ken’ sebelum meminta mangsa menyemak baki akaun syarikat dan mengarahkannya membuat beberapa transaksi wang.

“Mangsa kemudian membuat tiga transaksi berjumlah RM452,000 ke dua akaun bank,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azli berkata, transaksi pertama berjumlah RM95,000 dibuat pada jam 3.53 petang ke akaun Bank Islam, diikuti RM212,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pada jam 4.56 petang.

“Transaksi ketiga berjumlah RM145,000 dibuat pada jam 5.24 petang ke akaun Bank Islam yang sama.

“Dalam urusan berkenaan, mangsa turut berhubung dengan seorang individu yang bertanggungjawab meluluskan transaksi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pada 25 Ogos, mangsa sekali lagi menerima WhatsApp daripada individu sama yang meminta transaksi tambahan sebanyak RM235,000.

Bagaimanapun, katanya, sebelum transaksi itu dibuat, individu yang bertanggungjawab meluluskan transaksi menghubungi bos sebenar mangsa bagi mendapatkan pengesahan.

“Bos terbabit kemudian memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan mangsa membuat sebarang transaksi berkenaan,” katanya.

Susulan itu, mangsa menyedari dirinya diperdaya individu yang menyamar sebagai bos syarikat menggunakan aplikasi WhatsApp.

Azli berkata, wang yang lesap berkenaan adalah milik syarikat dan mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here