TIGA sekeluarga maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan jenis Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas di Kampung Sungai Atas, Kunak petang ini.
Setakat ini, identiti kesemua mangsa dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.05 petang.
Beliau berkata, empat anggota bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira enam kilometer dari BBP Kunak.
“Menurut maklumat, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Perodua Viva yang terbabas sendiri di laluan tersebut.
“Enam mangsa terlibat berada di luar kenderaan, dipercayai tercampak keluar dan tiada mangsa yang tersepit.
“Tiga mangsa yang merupakan nenek, menantu dan cucu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala tiga yang lain mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, polis mengesahkan tiga sekeluarga yang maut dalam nahas itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kalabakan, Tawau ke rumah mereka di Kampung Sungai Langgas.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Angong berkata, kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 6.03 petang melibatkan sebuah Perodua Viva yang terbabas di Kilometer 7, Jalan Kunak – Semporna.
“Dalam kejadian itu, kenderaan tersebut dipandu seorang lelaki tempatan bersama lima ahli keluarganya iaitu dua dewasa dan tiga kanak-kanak.
“Difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kalabakan menuju ke rumah mereka di Kampung Sungai Langgas, Kunak, dan sebaik tiba di lokasi, kenderaan telah hilang kawalan lalu terbabas,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, kejadian itu menyebabkan pemandu dan dua lagi penumpang meninggal dunia di lokasi.
“Seorang penumpang mengalami kecederaan parah dan dua lagi penumpang mengalami kecederaan ringan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Rejali dalam pada itu berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mansor Suhara di talian 013-597 5643.





