Kerjasama Rusia-Malaysia menuju ke arah pencapaian bersejarah – Putin

RUSIA dan Malaysia sudah mewujudkan asas kukuh untuk terus memperluaskan kerjasama dua hala ketika kedua-dua negara menghampiri ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, tahun depan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, kedua-dua negara sedang menuju ke arah pencapaian bersejarah itu dengan ‘pengalaman positif yang signifikan’ dalam hubungan dua hala.

“Pada tahun depan, genap 60 tahun hubungan diplomatik antara negara kita. Kita menghampiri tarikh ini dengan pengalaman positif yang bermakna dalam kerjasama rasmi dan hubungan bersama, serta mewujudkan penyelarasan yang kukuh ke arah pengembangan kerjasama selanjutnya,” katanya lapor BuletinTV3.

Putin berkata, Rusia dan Malaysia mengekalkan hubungan yang kerap melalui kementerian, agensi serta parlimen masing-masing, manakala suruhanjaya antara kerajaan mengenai kerjasama ekonomi, saintifik, teknikal dan kebudayaan bertanggungjawab melaksanakan projek bersama secara praktikal.

Beliau berkata, perdagangan dua hala terus menunjukkan pertumbuhan dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 12.9 peratus pada 2025.

“Pada 2025, perdagangan antara negara kita meningkat sebanyak 12.9 peratus dan ini adalah pencapaian yang baik,” katanya.

Putin sekali gus menegaskan Rusia amat mementingkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pendidikan, sains dan teknologi, pelancongan serta hubungan kemanusiaan.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan sokongan Malaysia terhadap pembangunan perkongsian strategik antara Rusia dengan ASEAN, sambil mengingatkan bahawa sidang kemuncak pertama Rusia-ASEAN diadakan di Malaysia pada 2005.

Merujuk kepada pertemuan terdahulu dengan pemimpin Malaysia, Putin mengimbau pertemuannya dengan Anwar di Malaysia dan menyampaikan salam serta ucapan selamat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Perdana Menteri turut menghadiri Majlis Makan Malam Gala sempena sidang kemuncak yang dihoskan Putin di Tatar State Academic Theater.

Majlis itu bukan saja menampilkan persembahan kebudayaan Rusia yang kaya dengan sejarah dan warisan, malah menjadi medan penting untuk mempererat hubungan persahabatan serta bertukar pandangan dengan pimpinan yang hadir.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img