Kertas siasatan insiden libat Ketua Pengarah AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara esok

KERTAS  siasatan berhubung insiden melibatkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata kertas siasatan itu dikemukakan untuk penelitian, nasihat dan arahan lanjut selaras dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata setakat ini, seramai 25 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku pada 28 Sept lepas.

“Siasatan ini melibatkan keterangan daripada pegawai dan anggota PDRM, pegawai AKPS, anggota polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad, pekerja sistem pengendalian bagasi, pegawai perubatan serta saksi bebas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalid berkata siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja melakukan sesuatu perbuatan yang menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.

Beliau berkata PDRM memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara telus, profesional dan tanpa memihak berdasarkan keterangan saksi serta bukti yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek kejadian diteliti secara menyeluruh.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan perundangan yang sedang berjalan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here