SIKAP segelintir penduduk tempatan yang ‘gelap mata’ dengan bayaran bulanan serendah RM50 hingga RM500 dikenal pasti antara punca kegiatan menyewakan kenderaan kepada etnik Rohingya masih berlaku di Kelantan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, sebelum ini pihaknya mengesan banyak kes membabitkan etnik Rohingya membeli kenderaan menggunakan nama rakyat tempatan, namun trend itu semakin berkurangan hasil penguatkuasaan berterusan.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat penduduk tempatan yang menyewakan kenderaan kepada etnik berkenaan atau menjual kenderaan tanpa melakukan pertukaran hak milik.
“Sebelum ini kita akui banyak kes dikesan namun ia semakin berkurangan susulan tindakan tegas JPJ menerusi operasi berterusan dan kenderaan terbabit terus disita sekiranya dikesan di jalanan.
“Namun, perbuatan itu masih berlaku disebabkan penduduk tempatan yang ‘gelap mata’ dengan bayaran berkenaan walaupun tahu perbuatan itu menyalahi undang-undang.
“Menerusi operasi berterusan dilakukan sepanjang tahun ini, sebanyak 576 kenderaan dipandu warga asing diperiksa dengan 457 daripadanya disita dan 908 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Mohd Misuari berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, kebanyakan etnik Rohingya memberi alasan kenderaan yang digunakan dipinjam, disewa atau dibeli daripada penduduk tempatan, namun belum ditukar hak milik.
“Alasan ini sering diberikan ketika sekatan jalan raya, sedangkan mereka tidak dibenarkan memandu walaupun memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), selain tidak layak memiliki lesen memandu.
“Kita juga mengesan terdapat majikan yang meminjamkan kenderaan kepada pekerja etnik Rohingya atas alasan memudahkan urusan mereka,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kenderaan yang digunakan etnik Rohingya di Kelantan hanyalah bagi tujuan kelangsungan hidup dan bukannya kenderaan mewah seperti yang banyak dikesan di Lembah Klang.
“Tetapi apa jua jenis kenderaan yang digunakan tetap menjadi satu kesalahan.
“Kita memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya tidak menyewakan atau meminjamkan kenderaan kepada etnik Rohingya kerana tindakan tegas termasuk penyitaan kenderaan dan saman akan dikenakan terhadap pemilik yang ingkar,” katanya.






