SEORANG anggota tentera yang didakwa melepaskan tembakan sehingga terkena rakan setugas di lapang sasar dekat Sungai Menyala, Port Dickson petang semalam direman selama tiga hari.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, permohonan reman ke atas anggota lelaki itu dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.
“Berhubung perkembangan kes anggota tentera yang cedera akibat terkena tembakan, permohonan terhadap suspek dibuat di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Seremban, Noor Shazziera Safaruddin, pagi ini.
“Reman terhadap suspek yang berusia lingkungan 20-an itu dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 15 Ogos depan bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Mengulas mengenai keadaan mangsa yang juga berusia lingkungan 20-an, Mohd Nasharudin berkata, anggota tentera itu berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
“Bagaimanapun keadaan kecederaan sebenar mangsa belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan rasmi pemeriksaan daripada doktor yang merawatnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut merampas selaras senjata api yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian itu, namun tidak mahu mendedahkan jenis senjata berkenaan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini,” katanya.
Media hari ini melaporkan, seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, kira-kira jam 2.15 petang semalam.
Mohd Nasharudin dilaporkan berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka selepas terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.





