KETUA Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 144 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena dengan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.
Wan Ahmad Farid, 63, yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 pada 28 Julai tahun lalu menjadi penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.
Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 itu disempurnakan Sultan Ibrahim. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Jaguh sukan berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dikurniakan Darjah Bakti (DB) iaitu pengiktirafan tertinggi negara terhadap kecemerlangan dan sumbangannya dalam sukan berbasikal serta memperkukuh reputasi Malaysia di persada dunia.
Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ pula dikurniakan kepada Panglima Angkatan Tentera, Datuk Seri Malek Razak Sulaiman, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Dr Daing A Malek Daing A Rahaman.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman antara lima individu dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Turut dikurniakan PSM ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Datuk Avinderjit Singh Harjit Singh.
Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’ pula dikurniakan kepada 10 individu antaranya Hakim Mahkamah Rayuan, Leonard David Shim, KSU Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Aminuddin Hassim, KSU Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Hairil Yahri Yaacob, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman dan Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia, Datuk Cheong Loon Lai.
Turut menerima PJN, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari, tokoh aktivis masyarakat dan wanita, Datuk Rugayah Abdul Majid, Pengerusi Mranti Corporation Sdn Bhd, Prof Dr Rofina Yasmin Othman, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia, Amar Huzaimi Md Deris serta Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Datuk Teo Chee Yow.
Tiga individu pula menerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’ iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof, Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Jaba Mohd Noah dan juruiring Tentera Udara Yang di-Pertuan Agong, Brig Jen Datuk Amrul Yacob.


