KETUA Pemuda Amanah Perlis Ahmad Fadhzil Mohamad mengumumkan peletakan semua jawatan serta keluar daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta, atas alasan wujudnya ‘jurang prinsip’ dalam landskap politik semasa.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Amanah Kangar dan Ketua Biro Kesihatan Pemuda Amanah Nasional.
Menurut Ahmad Fadhzil keputusan drastik itu dibuat selepas melalui proses pertimbangan yang panjang dan teliti terhadap hala tuju perjuangan yang ingin dibawanya sebagai pemimpin muda.
“Saya melihat terdapat jurang yang semakin ketara antara prinsip perjuangan yang saya pegang dengan pendekatan serta keutamaan semasa dalam landskap politik yang sedang dilalui,” katanya..
Ahmad Fadhzil berkata, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat harus mengatasi kepentingan kedudukan dalam organisasi.
“Sebagai pemimpin muda, saya percaya bahawa kepimpinan bukan sekadar soal kedudukan, tetapi soal keberanian untuk kekal berpegang kepada prinsip, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.
Beliau menjelaskan, keputusan mengundur diri daripada semua jawatan dan keahlian parti itu juga bertujuan memberi ruang kepada kepimpinan lain untuk meneruskan agenda mereka.
Ahmad Fadhzil berkata, beliau mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha kemasyarakatan yang lebih dekat dengan prinsip perjuangannya, khususnya dalam bidang kesihatan dan kebajikan.


