TMJ kemukakan isu teras jejas perkembangan bola sepak Malaysia

PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Ismail menyatakan empat isu teras yang  menjejaskan perkembangan bola sepak negara ini.

Titah baginda, antara isu utama membelenggu sejak sekian lama ialah ketiadaan pembangunan akar umbi sistematik serta pertandingan belia yang kompetitif sekali gus dilihat menjejaskan kesinambungan bakat negara.

Baginda  turut menegaskan, keperluan mewujudkan badan pengadil bebas dan profesional bagi memastikan integriti serta standard pengadilan berada pada tahap terbaik.

Baginda bertitah, kekurangan penaja konsisten turut menjadi antara faktor melemahkan ekosistem liga, di samping masalah disiplin pengurusan kewangan dalam kalangan kelab yang masih gagal berbelanja mengikut kemampuan.

“Kalau ada RM12, kita patut kurangkan perbelanjaan, bukan kalau ada RM12 belanjakan RM15. Tetapi apabila ada isu kewangan, semua pihak mula membuat salah satu benda yang tidak bertanggungjawab, iaitu salahkan FAM  dan MFL .

“Sedangkan yang mengurus kewangan adalah kelab masing-masing. Inilah masalah utama,” titah Tunku Mahkota Ismail.

Baginda bertitah demikian ketika  perbincangan meja bulat MFL bersama wakil kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi MFL hari ini.

Baginda turut menyifatkan kelemahan infrastruktur termasuk kualiti padang dan kemudahan stadium sebagai antara kekangan utama yang perlu diberi perhatian serius.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menyambut baik inisiatif MFL mengadakan perbincangan meja bulat, namun menegaskan semua pihak perlu bersikap jujur dan berterus terang dalam mencari penyelesaian tanpa memainkan naratif berbeza di luar perbincangan rasmi.

“Kalau kita serius nak bangunkan bola sepak, kita kena selesaikan isu asas ini dahulu,” titah baginda.

Terdahulu, perbincangan meja bulat itu yang turut disertai Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan di sebuah hotel di sini, dikejutkan dengan kehadiran Tunku Mahkota Ismail, ketika sesi sedang berlangsung.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img