BEKAS bintang UFC, Khabib Nurmagomedov mendedahkan pertarungannya menentang Conor McGregor pada 7 Oktober 2018 umpama ‘percutian’ bagi dirinya.
Pertarungan ikonik UFC 229 menyaksikan Khabib menewaskan McGregor dengan kuncian ‘neck crank’ pada pusingan keempat.
Namun, pertarungan ‘berat sebelah’ itu berakhir dengan pergaduhan melibatkan kem kedua-dua pasukan.
“Apa yang best di UFC, jika kamu tidak menyukai seseorang itu, kamu masuk ke dalam Octagon. Ajar dia habis-habisan dan kamu menerima gaji lumayan.
“Tapi di luar UFC, jika kamu buat perkara sama… Kamu 100 peratus masuk penjara,” ujar Khabib.
Menurut jaguh Dagestan, Rusia itu, dia telah lama menunggu untuk bersemuka dengan McGregor selepas petarung Ireland itu menghamburkan pelbagai bentuk hinaan melampau selama berbulan-bulan terhadap keluarga, agama Islam dan negaranya menjelang UFC 229.
Malah, insiden serangan bas di Brooklyn menyebabkan Khabib menganggap pertarungan dengan McGregor di UFC 229 benar-benar peribadi.
Insiden paling terkenal di UFC 229 ialah Khabib memanjat pagar Octagon dan melompat keluar sebelum menyerang rakan sepelatih McGregor, Dillon Danis.
Selepas insiden itu, Khabib tampil di sidang akhbar dan menyatakan dia bersedia menerima sebarang bentuk hukuman daripada bapanya, (Allahyarham) Abdulmanap yang jelas berang dengan tindakannya yang mencetuskan pergaduhan besar dalam sejarah UFC.
Pun begitu, Khabib menjustifikasikan tindakannya kerana selepas dia menewaskan McGregor, Danis masih menghamburkan cacian di luar Octagon.
Biarpun Khabib enggan mendedahkan apa yang diperkatakan Danis, tetapi beberapa saksi memberitahu rakan McGregor itu ada menyebut ‘pengganas’ dan ‘Islam’ dalam satu ayat.
Menariknya, sebelum permusuhan mereka memuncak, hubungan kedua-dua jaguh MMA ini cukup mesra.
Khabib pernah bergambar bersama McGregor di belakang pentas sebelum selepas McGregor mengalahkan Dustin Poirier di UFC 178 pada 2014.
Khabib kini berada di Amerika Syarikat bagi membantu persiapan rakan sekampungnya, Islam Makhachev yang bakal berdepan juara bertahan, Jack Della Maddalena untuk perebutan gelaran juara dunia welterweight di UFC 322 hujung minggu ini.



