WALAUPUN membuat keputusan keluar daripada UMNO serta-merta dan menyertai Bersatu namun bekas ADUN Layang-Layang Abdul Mutalib Abd Rahim sama sekali tiada rasa kecewa atau permusuhan dengan UMNO.
Ketika mengumumkan keputusan itu di Muar, Abdul Mutalib berkata, beliau tidak apa-apa isu dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
‘’Kami semua berkawan, tiada paksaan tiada rasa benci. Parti politik hanyalah platform untuk berkhidmat. Kita bukan mahu tunjuk siapa yang baik, tetapi kita akan berusaha lakukan yang terbaik untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat dengan semangat Maal Hijrah, jadi kita berhijrah kalau ada yang lebih baik,’’ katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Abd Mutalib memenangi kerusi DUN Layang dengan majoriti 2,815 undi menewaskan tiga calon termasuk Maszlee Malik yang mewakili Pakatan Harapan.
Abd Mutalip yang pernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor dari 2013 hingga 2018 berkata, keputusan tersebut dibuat secara sukarela tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak.
Beliau turut mengesahkan akan bertanding sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurutnya, keputusan kembali bertanding dibuat selepas menerima desakan dan permintaan daripada pengundi di kawasan tersebut yang mahu beliau terus mewakili mereka.
“Orang akan tanya sebab apa yang terjadi sebenarnya di N27 Layang-Layang. Kalau kita lihat pengundi Melayu di situ ada lebih kurang hampir 60 peratus.
“Maka saya ditanya oleh pengundi-pengundi saya daripada kalangan orang Melayu. Saya bukan rasis, tidak kita tahu situasi ini sekarang dalam keadaan yang seperti ini pengundi sering akan menanyakan soalan-soalan kenapa tidak ada calon daripada kalangan orang Melayu yang diletakkan oleh parti-parti yang bertanding.
“Saya sudah penat, tapi di atas tanggungjawab demi agama bangsa dan juga pengundi-pengundi saya yang lain yang meminta kepada saya bersama, saya akan bertanding sekali lagi,” ujarnya.






