KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada isu pematuhan keselamatan sinaran kritikal dikenal pasti di Unit Perubatan Nuklear Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) susulan dakwaan wujud kluster kanser di fasiliti itu.
Dalam satu kenyataan KKM berkata, siasatan mendapati tahap keselamatan radiasi di fasiliti berkenaan selamat dan terkawal.
‘’Malah, siasatan dijalankan Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) KKM menunjukkan tiada bukti teknikal menyokong dakwaan pendedahan radiasi di fasiliti itu yang menyebabkan kluster kanser dalam kalangan kakitangan,’’ kata kenyataan itu.
Kata KKM, siasatan dilaksanakan bagi menilai tahap keselamatan radiasi serta pematuhan terhadap keperluan perundangan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.
“KKM ingin menegaskan keselamatan pesakit, pekerja kesihatan dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan.
“Pemantauan berkala serta audit pematuhan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua fasiliti mematuhi standard keselamatan radiasi ditetapkan,” kata KKM.
Justeru KKM meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
‘’KKM komited memastikan ketelusan maklumat dan akan terus menyalurkan maklumat tepat berdasarkan bukti teknikal,’’ kata kenyataan tersebut.


