CUBAAN mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan muatan sebagai bijih timah terbongkar selepas sebuah kontena yang dipenuhi sisa elektrik dan elektronik (e-waste) terbakar sejurus tiba di Pelabuhan Klang, semalam.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.05 pagi ketika kontena berkenaan masih berada di atas sebuah lori treler sejurus tiba di pelabuhan.
Menurutnya, kontena itu dibawa masuk dari luar negara dengan muatan seberat 17,237 kilogram dan diisytiharkan sebagai bijih timah (tin ore).
“Susulan kejadian itu, pemeriksaan bersama AKPS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kandungan sebenar kontena tersebut ialah 100 peratus sisa elektrik dan elektronik (e-waste).
“Ia bukannya bijih timah seperti yang diisytiharkan dalam dokumen penghantaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati e-waste berkenaan disenaraikan sebagai barang dagangan di bawah Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 (Pindaan) yang berkuat kuasa bagi pengimportan mulai 1 April lalu.
Katanya, pengimportan barang dagangan itu tertakluk kepada syarat serta kelulusan pihak berkuasa kompeten sebelum dibenarkan memasuki negara ini.
“Kes kini disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran undang-undang termasuk kesalahan membuat pengisytiharan palsu, mengimport barang dagangan terkawal tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan serta kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Nik Ezanee berkata, AKPS akan terus memperkukuh kawalan di semua pintu masuk negara bagi membanteras cubaan membawa masuk barangan terkawal atau berbahaya melalui pengisytiharan palsu.
Beliau turut menegaskan kerjasama strategik antara AKPS, JAS dan JKDM akan dipertingkatkan bagi memastikan sebarang cubaan menyeludup e-waste atau barang dagangan yang melanggar peraturan dapat dikesan serta diambil tindakan sewajarnya.






