SEORANG duda dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap menantu perempuannya, tiga tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung faktor mitigasi serta pemberatan hukuman.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, tertuduh juga diarahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta sama.
Terdahulu, peguam Mohd. Ridwan Usman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira anak guamnya yang berusia 52 tahun pernah diserang sakit jantung selain mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md. Yatin memohon hukuman maksimum dikenakan memandangkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan dan memerlukan hukuman yang memberi kesan pencegahan kepada masyarakat.
Beliau turut berhujah tertuduh mengkhianati kepercayaan mangsa kerana sepatutnya bertanggungjawab melindungi menantu perempuannya.
Mengikut pertuduhan, bekas mekanik itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah rumah di Kuala Merotai, dekat sini pada Disember 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2 Julai 2024, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan lima saksi.






