KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengesahkan berlaku aktiviti pengisian petrol RON95 ke dalam tangki kenderaan berpendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Sungai Petani hari ini.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, KPDN Cawangan Sungai Petani telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit susulan penularan satu rakaman video di media sosial.
Menurut beliau, rakaman video tular itu memaparkan seorang pekerja stesen minyak sedang mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta bernombor pendaftaran asing.
“Pemeriksaan lanjut terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan mendapati video yang tular itu adalah sahih.
“Berlaku aktiviti pengisian petrol RON95 oleh pekerja stesen minyak berkenaan ke dalam tangki sebuah kenderaan berpendaftaran asing. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.07 pagi hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Nizam memberitahu, pasukan serbuan telah membuka kertas siasatan dan menyita resit jualan, rakaman CCTV serta dokumen berkaitan.
Tambah beliau lagi, KPDN telah pun mengeluarkan arahan larangan dan kawalan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing pada 29 April 2025 kepada semua pengusaha stesen minyak di seluruh negeri itu.


