Aaron-Wooi Yik pastikan Malaysia mara separuh akhir

BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menyelamatkan maruah kem badminton negara apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Pasangan ranking kedua dunia itu yang menjadi wakil terakhir negara turun di pentas suku akhir menewaskan gandingan ranking kelapan dunia dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, 21-19, 21-10 dalam aksi selama 34 minit di Axiata Arena Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik muncul wakil tunggal negara yang mara ke kelompok empat terbaik selepas dua lagi wakil di suku akhir iaitu beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun tewas di tangan lawan masing-masing.

Lebih manis, kemenangan itu membolehkan bekas juara dunia berkenaan menamatkan badi kekalahan dalam tiga pertemuan terakhir menentang Sabar-Moh Reza, termasuk di final individu Sukan SEA Thailand, final acara berpasukan Sukan SEA Thailand serta Terbuka Hylo, tahun lalu.

Meskipun menerima tentangan sengit pada set pertama, sokongan padu penonton di Axiata Arena jelas menjadi tonik buat Aaron-Wooi Yik yang kekal tenang mengawal tekanan sebelum menutup set berkenaan dengan kemenangan 21-19.

Set kedua pula menyaksikan mereka mendominasi sepenuhnya perlawanan dengan corak permainan agresif dan pantas, mendahului jauh 11-2 sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan meyakinkan 21-10.

Di separuh akhir esok, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan satu lagi gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, bagi merebut tiket ke final.

Rekod pertemuan memihak kepada gandingan Indonesia itu 2-1, namun Aaron-Wooi Yik memiliki tonik tambahan selepas memenangi pertemuan terakhir dalam aksi peringkat kumpulan Jelajah Dunia Akhir BWF, bulan lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img