KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar satu rangkaian sindiket penyelewengan minyak masak peket bersubsidi menerusi tiga serbuan berasingan yang membawa kepada rampasan lebih 59,000 kilogram minyak masak dan cecair disyaki minyak masak bernilai RM393,040.
Operasi itu dijalankan Bahagian Penguat Kuasa KPDN dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan sebelum ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan di dua premis di Seremban, Negeri Sembilan dan sebuah lagi premis di Seri Kembangan, Selangor yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan serta pemprosesan minyak masak peket bersubsidi secara tidak sah.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis terbabit digunakan untuk menyimpan sejumlah besar minyak masak peket bersubsidi serta cecair disyaki minyak masak yang ditempatkan di dalam tangki Intermediate Bulk Container (IBC), tong simpanan dan pelbagai peralatan lain.
“Peralatan itu dipercayai digunakan bagi tujuan pemindahan, pemotongan dan penyimpanan minyak masak sebelum diedarkan semula.
“Siasatan awal juga mendapati pengendali premis gagal mengemukakan lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual seperti dikehendaki di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai menggunakan modus operandi mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi daripada pembungkus atau pemborong yang mempunyai lesen barang kawalan sebelum dihantar ke premis haram untuk dipotong daripada bungkusan asal.
Katanya, minyak masak itu kemudian dikumpulkan dan disimpan di dalam tangki IBC sebelum dipercayai dijual kepada pihak ketiga termasuk pengusaha Used Cooking Oil (UCO) bagi memperoleh keuntungan lebih tinggi.
Menurutnya, siasatan mendapati rangkaian sindiket itu dipercayai melibatkan lapan jenama tempatan serta pembekal yang mempunyai lesen barang kawalan.
Dalam operasi berkenaan, pasukan serbuan turut menyita pelbagai barangan termasuk minyak masak peket bersubsidi, cecair disyaki minyak masak, tangki IBC, pam, hos penyambung, forklift, lori, telefon bimbit, kotak pembungkusan dan peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
“Secara keseluruhan, sebanyak lebih 59,000 kilogram minyak masak dan cecair disyaki minyak masak berjaya disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM393,040.
“Seramai sembilan individu turut ditahan bagi membantu siasatan membabitkan tiga warga tempatan dan enam warga asing,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
Azman berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu dan syarikat lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket berkenaan.
Beliau menegaskan KPDN akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan membabitkan barang kawalan dan subsidi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-8488000, Portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.






