PAKATAN Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Isnin ini, kata Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata pengumuman itu dijangka dibuat pada majlis yang melibatkan pimpinan tertinggi parti termasuk Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pengumuman calon ini telah disepakati oleh PH negeri dan juga pusat. Insya-Allah kita akan adakan di sebelah utara Johor, kemungkinan di Bukit Gambir, Tangkak,” katanya lapor Bernama.
Dr Zaliha berkata pemilihan lokasi itu bagi menyemarakkan gelombang sokongan rakyat yang semakin meningkat selepas beberapa siri program di zon utara termasuk di Bukit Naning yang menunjukkan respons sangat menggalakkan.
Selain itu, beliau berkata proses pemilihan calon melibatkan pandangan peringkat cabang bagi memastikan mereka dipilih benar-benar memahami keperluan masyarakat setempat dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
“Kita juga masukkan unsur (golongan) profesional, anak muda, wanita dan kepelbagaian kaum supaya ada keseimbangan dalam calon yang diketengahkan,” katanya.
Dr Zaliha berkata selain mewakili pelbagai kelompok masyarakat, calon yang dipilih juga perlu mempunyai kemampuan untuk menyumbang kepada matlamat lebih besar PH pada PRN itu.
Beliau berkata PH tidak memasuki gelanggang pilihan raya sekadar untuk menambah bilangan kerusi dimenangi sebelum ini, sebaliknya dengan sasaran membentuk kerajaan negeri.
PH akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PKR meletakkan calon di 20 kerusi, DAP (17) dan Amanah (19).
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai dengan penamaan calon pada 27 Jun dan pengundian awal pada 7 Julai.






