Mahkamah tolak  permohonan semakan kehakiman Bersatu cabar SPRM beku, sita akaun

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal dalam permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membeku dan menyita dua akaun bank parti itu.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan difailkan oleh Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya atas kapasitinya selaku pegawai awam Bersatu dan Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam keputusan yang disampaikan dalam prosiding menerusi aplikasi Zoom, Aliza berkata mahkamah berpuas hati bahawa pemohon gagal membuktikan keputusan, tindakan atau kecuaian responden dipengaruhi unsur di luar luasa, ketidaksahan, kecacatan prosedur, tidak rasional, berniat jahat, pelanggaran jangkaan sah atau penyalahgunaan kuasa.

Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos.

Muhammad Suhaimi dan Muhyiddin memfailkan permohonan itu pada 29 Mac 2023 dengan menamakan SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Tan Sri Azam Baki, kerajaan serta 17 yang lain selaku responden.

Dalam penghakimannya, Aliza berkata pihak responden berhujah bahawa akaun bank berkenaan telah menjadi subjek dalam pertuduhan jenayah terhadap Muhyiddin selaku Presiden Bersatu.

“Ia merupakan satu fakta bahawa setakat hari ini, perbicaraan terhadap Tan Sri Muhyiddin atas pertuduhan jenayah telah pun bermula di Mahkamah Tinggi Khas Rasuah,” katanya.

Aliza berkata perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 12 dan 13 Jan 2023 bertujuan menghalang wang dalam akaun yang disiasat daripada dilupuskan.

“Saya berpuas hati siasatan berhubung aktiviti menyalahi undang-undang telah dimulakan terhadap Tan Sri Muhyiddin atas kapasiti beliau selaku presiden Bersatu dan telah didakwa atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Kesalahan didakwa dilakukan Tan Sri Muhyiddin melibatkan akaun bank iaitu Bersatu adalah pemegang akaun berkenaan. Sehubungan dengan itu, keputusan untuk mengeluarkan perintah pembekuan terhadap akaun bank terbabit adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 44(1) AMLA,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img