CUBAAN dua lelaki melarikan diri daripada polis selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan berakhir dengan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuching dari arah Lebuhraya DUKE menghala ke pusat bandar, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.46 malam itu, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati kira-kira jam 5.30 petang sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju yang sedang menjalankan tugas mengesan sebuah Perodua Viva dalam keadaan mencurigakan di kawasan Wangsa Maju.
Menurutnya, pemandu bersama seorang penumpang dipercayai enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan pihak polis sebelum berlaku aksi kejar-mengejar sehingga ke Jalan Kuching.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu terbabit dipercayai memandu secara berbahaya dengan bergerak di antara lorong kiri dan kanan jalan sebelum hilang kawalan.
“Kedua-dua suspek berjaya ditahan di lokasi oleh anggota BSJN IPD Wangsa Maju dan hasil pemeriksaan menemukan dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, akibat kejadian itu, kenderaan suspek merempuh tiga lagi kenderaan yang berhenti susulan kesesakan lalu lintas.
“Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun, sebuah Honda City dipandu wanita tempatan berusia 20 tahun dan sebuah lagi Perodua Viva dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun,” ujarnya.
Fadil berkata, kenderaan suspek pula dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun manakala penumpangnya berusia 42 tahun.
“Insiden hanya mengakibatkan kerosakan pada keempat-empat kenderaan dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
“Kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline IPD Sentul di talian 03-4048 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.






