BAGI mengelak daripada ditahan, dua penunggang sanggup meninggalkan motosikal diubah suai secara ekstrem selepas gagal meloloskan diri dalam serbuan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Op Motosikal dan Op Pemandu Warga Asing (Op PeWa) di Bandar Raya Melaka petang kelmarin.
Sebelum kejadian itu, sekumpulan penunggang dikesan berkumpul di sebuah stesen minyak berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kira-kira jam 5 petang sambil membuat bising menggunakan ekzos yang dipercayai diubah suai secara ekstrem sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, sebaik pasukan penguat kuasa tiba bagi menjalankan pemeriksaan, beberapa penunggang bertindak memecut motosikal masing-masing untuk melarikan diri.
“Namun, hasil tindakan pantas dan tersusun anggota penguat kuasa, dua penunggang gagal meloloskan diri. Kedua-duanya kemudian meninggalkan motosikal di lokasi sebelum membonceng motosikal rakan lain untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata, dalam keadaan tergesa-gesa, seorang daripada penunggang turut tercicir MyKad di lokasi kejadian, sekali gus membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan yang sedang dijalankan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua motosikal terbabit diubah suai secara ekstrem dan tidak mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
“Antara kesalahan dikesan adalah penggunaan ekzos bising yang tidak mematuhi piawaian, lampu, brek dan komponen keselamatan yang tidak berfungsi dengan baik. Tayar dan rim juga tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan selain tiada cermin sisi,” katanya.
Susulan itu, kedua-dua motosikal berkenaan disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, menerusi enam Op Extreme yang dijalankan di seluruh negeri, sebanyak 540 kenderaan diperiksa dengan 142 daripadanya diambil tindakan.
Beliau berkata, JPJ Melaka akan terus mempergiat Op Motosikal bagi membanteras aktiviti pengubahsuaian motosikal secara ekstrem yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan melarikan diri daripada pemeriksaan penguat kuasa tidak akan menghalang tindakan undang-undang dan kita akan kesan dan panggil mereka bagi membantu siasatan.
“Pemilik kenderaan perlu tampil menyelesaikan urusan mengikut prosedur ditetapkan dan pelepasan kenderaan hanya dibenarkan selepas semua syarat dan tindakan perundangan dipenuhi.
“Sekiranya kenderaan gagal dituntut selepas penyelesaian kes dan saman tertunggak dalam tempoh ditetapkan, ia boleh dilucut hak sebelum dilelong kepada orang awam mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.






