Dua lelaki diberkas selepas samun guna parang di kedai runcit Dengkil

POLIS berjaya menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian samun bersenjata parang di sebuah kedai runcit di Taman Delux, Dengkil, pada malam 9 September lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kejadian samun yang mencetuskan kebimbangan penduduk setempat selepas insiden itu tular dan menjadi perhatian masyarakat.

“Susulan kejadian tersebut, polis telah berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta mendapatkan maklumat tambahan berkaitan kes,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan senjata.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hussaini Helmee di talian 019-8966292 atau tampil ke Balai Polis Dengkil bagi membantu siasatan.

Dalam rakaman video tular, empat lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar serta bersenjatakan parang dilihat menyamun sebuah kedai runcit sebelum melarikan wang tunai.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here