Strategi PH turut libat usaha rangkul kekuatan daripada tokoh veteran – Fahmi

STRATEGI Pakatan Harapan (PH)  ke hadapan bukan sahaja tertumpu kepada kerjasama antara parti sedia ada, malah melibatkan usaha merangkul semula kekuatan daripada tokoh veteran atau ‘otai’ yang pernah bersama perjuangan berkenaan.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan, parti itu berusaha bukan sahaja untuk mengambil semula ‘otai-otai’ seperti Tian Chua dan ramai lagi, tetapi juga perlu merangkul seluruh kekuatan yang ada.

“Saya melihat ini adalah salah satu strategi yang akan dimanfaatkan untuk memastikan gabungan kita kekal relevan dan kuat dalam menghadapi cabaran politik akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media  selepas majlis Penyerahan Kelengkapan Human Graphic Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi mengulas dakwaan Tian Chua, yang menyifatkan model sedia ada PH kini seolah-olah sudah ketinggalan zaman (outdated) dan memerlukan strategi atau model baharu untuk menang,

Sementara itu, Fahmi turut mengesahkan Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari telah mengadakan pertemuan dengan Anwar semalam.

“Saya difahamkan mereka ada pertemuan semalam, tetapi saya tidak dimaklumkan apa intipati perbincangan tersebut. Memang dalam masa sehari dua ini, terdapat banyak perjumpaan dan mesyuarat melibatkan pimpinan tertinggi parti,”

Minggu lalu, Anwar dilaporkan berkata Jawatankuasa Pilihan Raya PH akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata jawatankuasa itu dipimpin Amirudin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin sebelum ini tidak menolak kemungkinan untuk bertemu Ab Rauf, yang juga Ketua Menteri Melaka, bagi membincangkan kerjasama menjelang pilihan raya negeri berkenaan.

Saifuddin berkata pertemuan itu boleh diadakan selepas Ab Rauf pulang daripada lawatan kerja ke New Zealand.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here