SEORANG lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Seri Manjung atas pertuduhan mengangkut tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang diseludup ke negara ini, awal bulan ini.
Tertuduh Won Kim Howi, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim, Azizah Ahmad, lapor Berita Harian.
Lelaki itu sebagai pemandu kenderaan jenis Toyota Camry didapati mengangkut tujuh PATI berusia antara 18 hingga 53 tahun itu yang diseludupnya di kebun sawit Jalan Pantai Saujana 15, Pantai Remis, di sini kira-kira jam 8.30 pagi 6 Februari lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama membabitkan penjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edry Rusyaidi Edmy, manakala tertuduh diwakili peguam, Soo Liang Xhe.
Edry Rusyaidi tidak mencadangkan jaminan berikutan tertuduh ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), namun memohon perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di bawah SOSMA yang kemudian dibenarkan hakim.
Azizah turut menetapkan permohonan jaminan bagi kes itu hanya boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi.
Hakim menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes iaitu sesudah semua PATI dalam kes ini selesai dijatuhkan hukuman oleh mahkamah yang dijadualkan 5 Mac ini.


