Lelaki Bangladesh didakwa bunuh tiga rakan senegara

SEORANG lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh tiga rakan senegaranya awal bulan ini.

Md Idris Ali, 43, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Nurul Saqinah kemudian memerintahkan jurubahasa asing dipanggil selepas mendapati tertuduh sukar memahami Bahasa Malaysia.

“Mahkamah menetapkan satu tarikh bagi jurubahasa asing untuk pertuduhan dibacakan semula ke atas tertuduh dalam bahasa yang difahami dengan tarikh ditetapkan 13 Ogos 2026,” katanya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Md Nozrul Islam, Mohasin dan Kiron Miah di lorong belakang rumah berhampiran Taman Linggi dan sebuah ladang sawit di Sua Manggis, Port Dickson, antara jam 3.30 petang hingga 4 petang, 3 Ogos lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sehingga 12 sebatan.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut didakwa cuba membunuh seorang lagi warga Bangladesh, Md Kajal Mondol, di Taman Linggi pada jam 4 petang hari sama.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Tasnim Abu Bakar turut menangguhkan pertuduhan berkenaan ke 13 Ogos ini untuk dibacakan semula dalam bahasa yang difahami tertuduh.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh, lapor Berita Harian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here