LELAKI yang disyaki mencampak anak saudara perempuannya ke sungai sehingga maut di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, semalam, direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh.
Hakim Mahkamah Sesyen, Hafizah Abdul Rajak membenarkan permohonan polis untuk menahan suspek sehingga 28 September mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi tiba di perkarangan mahkamah jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 pagi sebelum menahan suspek.
Menurutnya, suspek dipercayai mencampak mangsa ke sungai sebelum mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar bapa mangsa yang berusia 40 tahun.
Dalam kejadian itu, seorang anggota polis turut cedera dalam pergelutan ketika cuba menahan suspek, lapor BH.
Punca kejadian masih dalam siasatan, manakala suspek juga dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pasir Gudang dan dijangka dikebumikan di Kampung Sayang selepas urusan bedah siasat selesai.




