SEORANG penumpang dilaporkan pitam sebelum terjatuh di atas landasan sistem transit aliran ringan (LRT) di Stesen Wangsa Maju di ibu negara pagi tadi.
Rapid KL dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.25 pagi itu menyebabkan perkhidmatan laluan Kelana Jaya mengalami sedikit kelewatan.
Menurutnya, sejurus insiden itu berlaku, sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan dan bekalan kuasa diputuskan sementara sebagai langkah keselamatan.
“Penumpang terlibat kemudiannya berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan oleh petugas stesen dan dibawa ke bilik kecemasan untuk mendapat rawatan awal,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan keadaan penumpang dan kecederaan dialaminya.
Rapid KL juga menasihatkan penumpang yang berasa kurang sihat atau memerlukan pertolongan di stesen atau platform disarankan mendapat bantuan daripada polis bantuan atau petugas stesen.
Penumpang juga dinasihatkan supaya berada di belakang garisan kuning ketika berada di platform sebagai langkah keselamatan semasa menunggu tren.





