SEORANG lelaki didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut dan mencederakan seorang lelaki, Ahad lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin turut memerintahkan tertuduh, Mohd Shamsuri Mohd Norman, 52, dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Muhamad Hassan Zaid Ramli, 52, dengan berkata: “Kalau kau buat lagi, aku pukul kau, aku tak peduli siapa kau, aku boleh tumbuk pecah muka kau.”
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 3.30 petang di kawasan tepi laut, Pulau Besar, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, lapor BH.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sengaja mencederakan mangsa di lokasi dan waktu sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menemui mangsa di sebuah kedai makan sebelum membawanya ke tepi laut.
Tertuduh kemudian didakwa memegang kolar baju dan leher mangsa serta menolak muka lelaki itu beberapa kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon hukuman berat, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum.
Tertuduh berkata, dia tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan tetap selain perlu menjaga ibu bapanya.





