SEORANG peniaga durian mengalami kerugian RM450,879 selepas dipercayai diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud yang menggunakan tawaran berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman berkata, mangsa berusia 31 tahun itu berkenalan dengan suspek menerusi Telegram pada 30 Oktober lalu.
Menurutnya, mangsa membuat laporan polis semalam selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Katanya, suspek mempelawa mangsa menyertai pelaburan berasaskan pusingan wang menggunakan aplikasi janaan AI yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah laman sesawang sebelum memulakan pelaburan menerusi platform berkenaan.
“Bermula 4 November lalu, mangsa beberapa kali memasukkan wang bagi tujuan pelaburan, yuran, penambahan nilai pelaburan serta denda akibat kelewatan memasukkan penambahan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahril berkata, mangsa melakukan 22 transaksi ke 12 akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM450,879.
Mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas diminta memasukkan wang tambahan bagi tujuan pengeluaran modal pelaburan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Susulan kejadian itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Semak latar belakang pelaburan dan pastikan pelaburan yang disertai disahkan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.





