SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika memancing bersama anak angkatnya di Sungai Parit Bugis di Pontian pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Tan Siang Fook @ Albert Tan, 56, dan Chong Hao Chen, 9, menaiki sebuah bot berenjin 20 kuasa kuda yang disewa sekitar 8 pagi.
Siang Fook dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan hilang, manakala anak angkatnya terselamat.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 8.34 pagi.
Beliau berkata, laporan polis telah dibuat dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) sedang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Wilayah 2.
Menurutnya, polis difahamkan bot dinaiki mereka terlanggar sebatang kayu yang melintang di laluan air sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.
“Anak angkat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot dan menyaksikan kejadian tersebut.
“Usaha pencarian sedang diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, tular satu hantaran dalam Facebook, seorang lelaki menemukan kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan penuh lumpur yang memaklumkan bahawa bapanya dipercayai lemas terjatuh dari bot ketika memancing di sungai berkenaan.


