2 pasangan suami isteri ditahan bantu siasatan kes cederakan pembantu rumah

POLIS menahan dua pasangan suami isteri bagi membantu siasatan kes mencederakan pembantu rumah di sebuah kediaman didiami mereka.

Tangkapan itu susulan Polis Johor mengesan empat video tular dalam Facebook semalam yang dikongsikan beberapa pemilik akaun berkait kejadian seorang pembantu rumah wanita warga asing dirakam dipukul dua lelaki dan dua perempuan tempatan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah sekitar Taman Johor di Tampoi, Johor Bahru.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menahan empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun, sekitar jam 7.30 malam tadi.

Katanya, polis turut merampas beberapa unit telefon bimbit, pakaian suspek, seunit kamera litar tertutup (CCTV) dan dua pasport wanita warga asing, dipercayai pembantu rumah kepada salah satu pasangan.

“Semakan mendapati semua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek berkeputusan negatif. Permohonan reman sehari ke atas semua suspek dibuat di mahkamah Johor Bahru hari ini,” katanya dalam sidang media di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru haru ini.

Ab Rahaman berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dalam video tular terbabit dipercayai berlaku pada 26 Julai tahun lalu di Taman Johor dan baru ditularkan dalam media sosial.

“Motif kejadian masih dalam siasatan. Selain mangsa, polis juga sedang mengesan dua lagi wanita yang juga pembantu rumah kepada suspek bagi membantu siasatan.

“Mereka juga dipercayai menjadi antara mangsa penderaan suspek serta merakam kejadian menimpa salah seorang pembantu rumah di kediaman sama. Semua mangsa berusia 20-an dipercayai sudah melarikan diri, tapi masih berada dalam negara,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img