POLIS menahan lapan individu bagi membantu siasatan selepas seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kebun kelapa sawit di Banting, disyaki menjadi mangsa pembunuhan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan lelaki berkenaan kira-kira jam 5 petang, 9 Ogos lalu.
Menurutnya, laporan dibuat anggota bertugas dari Cawangan KDNKA Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kebun kelapa sawit.
“Pihak polis telah membuat tangkapan seramai lapan orang yang disyaki terlibat dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.
Mohd Akmalrizal turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta penglibatan kesemua suspek.





