Wanita 62 tahun melecur disimbah petrol, dibakar lelaki bertopeng

SEORANG wanita berusia 62 tahun kini dirawat dalam keadaan kritikal tetapi stabil selepas disimbah petrol dan dibakar seorang lelaki bertopeng ketika membuka sebuah premis judi empat angka di Taman Pusat Kepong, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa baharu sahaja membuka premis berkenaan sebelum seorang lelaki bertopeng yang dipercayai bertindak sendirian menghampirinya.

Lelaki terbabit kemudian dipercayai menyimbah petrol ke arah mangsa sebelum mengeluarkan pemetik api, menyalakannya dan mencampakkannya ke arah mangsa sebelum melarikan diri.

Mangsa mengalami kelecuran pada muka, leher, tangan dan badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan difahamkan diletakkan dalam keadaan koma terkawal sementara menunggu pembedahan.

Menurut Dic Lai, pegawai Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, yang bertemu anak mangsa di pusat khidmatnya semalam, keluarga wanita berkenaan masih terkejut dengan kejadian itu.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi menunjukkan suspek datang berjalan kaki sebelum melakukan serangan dan kemudian berjalan dengan tenang ke bahagian belakang bangunan.

“Pekerja sebuah restoran berhampiran yang menyaksikan kejadian segera membantu Gan dan memadamkan api,” katanya.

Lai berkata, mangsa sempat menghubungi seorang daripada lima anaknya ketika menunggu ambulans tiba.

Menurutnya, mangsa tinggal bersendirian berhampiran tempat kerjanya dan berdasarkan maklumat daripada anak-anak, wanita itu tidak mempunyai musuh atau masalah berkaitan hutang yang diketahui.

“Keluarga juga tidak mengetahui apa yang menjadi motif serangan berkenaan. Mereka amat terkesan dan masih cuba memahami apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Lim menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek.

“Menjirus bahan api ke atas seorang wanita dan membakarnya adalah perbuatan kejam.

“Individu bertanggungjawab mesti ditangkap dan berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman CCTV di sekitar Taman Pusat Kepong bagi mengesan pergerakan suspek sebelum dan selepas kejadian.

“Kami sudah mengumpulkan rakaman CCTV dan sedang menelitinya. Identiti suspek serta motif serangan masih dalam siasatan,” katanya.

Jasni berkata, mangsa berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Inspektor Muhammad Amri Firdaus Jusoh di talian 010-919 8209, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di 03-4048 2222 atau balai polis berhampiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here