Lelaki maut ditembak rakan sendiri ketika berburu rusa

SEORANG lelaki maut akibat ditembak rakannya sendiri yang menyangka mangsa adalah rusa ketika mereka berburu di Tinjar, Baram di Miri pada malam Khamis lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam 9 April itu ketika mangsa yang berusia 20 tahun bersama tiga rakan lelaki lain termasuk seorang warga emas berusia 63 tahun keluar berburu di kawasan Long Tabing Atas Jaya, Tinjar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintenden Nor Aizan Jamil berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi, suspek yang membawa senapang patah mendakwa terlihat kelibat seekor rusa sebelum meminta kenderaan dihentikan dan enjin dimatikan.

“Suspek kemudian turun memburu sasaran, manakala mangsa bersama dua lagi rakan kekal dalam kenderaan sambil menyuluh menggunakan lampu.

“Selepas kira-kira 10 minit berjalan sejauh kira-kira 80 meter dari kenderaan, suspek terlihat satu cahaya kecil yang disangkanya mata rusa lalu melepaskan satu das tembakan ke arah itu.

“Tembakan itu mengenai mangsa yang berada dalam kenderaan. Suspek yang menyedari kejadian itu selepas melihat isyarat kecemasan bergegas kembali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aizan berkata, mangsa yang masih sedar ketika itu sempat mengadu dahaga sebelum dibawa pulang ke rumah panjang untuk menukar kenderaan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Long Lama bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.52 malam.

Berikutan kejadian itu, suspek bersama dua lagi lelaki tampil menyerah diri di Balai Polis Long Lama sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Nor Aizan berkata, siasatan awal mendapati hanya suspek memiliki senjata api, namun lesen senapang patah yang digunakan sudah tamat tempoh.

Katanya, polis turut merampas senjata berkenaan bersama satu kelongsong peluru, sebutir peluru hidup dan sebuah kenderaan Toyota Hilux yang digunakan ketika kejadian.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati kawasan itu kebun kelapa sawit berhampiran hutan tebal dengan keadaan berbukit dan jarak penglihatan terhad.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas semua suspek dan mendapatkan bantuan pasukan forensik,” katanya.

Katanya, tiga suspek masing-masing berusia 42, 47 dan 63 tahun kini direman selama tujuh hari hingga 17 April depan bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img