SEEORANG lelaki didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman menerusi platform media sosial Facebook pada 22 Disember lalu
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berkata, Tertuduh Mohamad Azri bin Sahlam, 41 tahun, didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana menggunakan perkhidmatan aplikasi (iaitu akaun Facebook) secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya. Tertuduh telah membayar denda berkenaan.
‘’Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233(2) Akta 588, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali,’’ kata MCMC dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R kerana ia bukan sahaja menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman, malah berpotensi menggugat ketenteraman dan keharmonian awam.
‘’Orang ramai diingatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat serta bebas daripada penyalahgunaan yang boleh mencetuskan keresahan dan ketegangan masyarakat. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,’’ kata MCMC


