KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) sedang mengkaji langkah mempercepatkan penubuhan Pasukan Siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih awal daripada sasaran asal pada 2030 susulan peningkatan ancaman serangan siber terhadap sistem pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keperluan menubuhkan pasukan khusus itu sudah dimaklumkan kepada kerajaan berikutan ancaman siber yang semakin kerap berlaku, canggih dan berpotensi menjejaskan keselamatan negara.
Menurutnya, ancaman berkenaan bukan sahaja menyasarkan sektor pertahanan, malah turut melibatkan pelbagai sektor lain termasuk swasta.
“Kita melihat peningkatan serangan siber bukan sahaja terhadap pertahanan negara, malah merangkumi sektor lain, khususnya sektor swasta.
“Di peringkat pertahanan, kita memang sentiasa berdepan serangan seperti ini. Ia bukan perkara baharu kepada kita.
“Dengan kemajuan teknologi, serangan ini boleh menjadi lebih serius dan agresif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Brigedier Jeneral Kehormat kepada Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah di Kuala Lumpur hari ini, lapor NST.
Mohamed Khaled berkata, keputusan menubuhkan pasukan berkenaan sudah dibuat sebagai usaha memperkukuh keupayaan ATM dalam menghadapi ancaman peperangan siber, seiring peranan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Katanya, satu pasukan teras juga sudah dibentuk bagi meneliti struktur organisasi serta keperluan penubuhan pasukan khusus itu, termasuk menyelaraskan keupayaan siber yang ketika ini sudah tersedia dalam setiap cabang perkhidmatan dan unit ATM.
Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh pelaksanaan yang pada asalnya ditetapkan pada 2030 sedang dikaji semula, namun tarikh baharu penubuhannya belum dimuktamadkan.
Menurutnya, kerajaan turut akan dimaklumkan mengenai keperluan sumber manusia, peralatan dan kemudahan lain bagi membolehkan penubuhan pasukan itu dipercepatkan.
Mengulas aspek perkongsian risikan, beliau berkata, keupayaan berkenaan akan menjadi antara komponen penting dalam Pasukan Siber ATM.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai pengaturan serta strategi operasi pasukan itu atas faktor keselamatan ketenteraan.





