SEORANG lelaki berusia 22 tahun didakwa melakukan khianat dengan api terhadap sebuah kereta BMW milik wanita berusia 61 tahun di Taman Ru, Air Itam, Georgetown, bulan lalu.
Ho Kun Quan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen 2, Georgetown, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan maksud menyebabkan kerosakan terhadap BMW berwarna perak milik wanita terbabit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Ru pada jam 3.51 pagi, 8 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini menawarkan jaminan RM25,000 dengan syarat tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap 1 haribulan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan dan menghadapi masalah kewangan.
“Saya mohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana saya dan keluarga tidak berkemampuan.
“Saya dan ibu tidak mempunyai pekerjaan manakala bapa bekerja biasa dengan pendapatan tidak tetap. Hari ini, ibu bapa saya hadir untuk menjamin saya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Hakim kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Oktober depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.





