Lima bentuk rasuah yang mencemari dunia sukan

 

Oleh Mohamad Tarmize Abdul Manaf

SEPANYOL muncul juara Piala Dunia FIFA 2026 selepas menewaskan Argentina 1-0 dalam perlawanan akhir yang penuh drama. Bagaimanapun, selepas tamat kejohanan penuh berprestij itu tumpuan beralih kepada Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) yang berdepan siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung dakwaan penyelewengan kewangan dan pengubahan wang haram.

Manakala, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memulakan prosiding disiplin terhadap AFA susulan beberapa insiden yang berlaku sepanjang kejohanan.

Perkembangan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Sejarah merakamkan banyak kejohanan sukan berprestij pernah tercalar akibat pelbagai skandal, terutamanya membabitkan rasuah dan penyelewengan kewangan.

Skandal rasuah di seluruh dunia

Skandal FIFA 2015 – Skandal yang dikenali sebagai FIFAgate merupakan salah satu kes rasuah terbesar dalam sejarah sukan. Pada 2015, pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Switzerland melancarkan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan FIFA berhubung dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan penipuan melibatkan lebih USD150 juta.

Skandal ini dipercayai berlaku selama lebih dua dekad, melibatkan pemberian hak penyiaran dan pemasaran kejohanan bola sepak, kontrak komersial pertandingan antarabangsa serta dakwaan pengaruh tidak wajar dalam pemilihan tuan rumah Piala Dunia FIFA 2018 (Rusia) dan Piala Dunia FIFA 2022 (Qatar).

Skandal tersebut mengakibatkan penahanan beberapa pegawai kanan FIFA dan pengunduran Presiden FIFA, Sepp Blatter yang memegang jawatan itu dari 1998 hingga 2016.

Susulan siasatan oleh DOJ, lebih 50 individu telah didakwa. Seterusnya, 27 individu dan empat syarikat didapati bersalah atas pelbagai kesalahan rasuah dan penipuan.

Lebih USD201 juta dilucut hak daripada pegawai FIFA, eksekutif pemasaran sukan serta syarikat yang terlibat dalam jenayah tersebut. Pada 2021, DOJ meluluskan pemulangan wang yang dilucut hak kepada FIFA dan beberapa persatuan bola sepak yang menjadi mangsa penyelewengan.

Rasuah dalam penganjuran Olimpik – Skandal bidaan Olimpik Salt Lake City 2002 terbongkar pada 1998. Siasatan oleh pihak berkuasa mendapati Jawatankuasa Bidaan Salt Lake City telah membelanjakan lebih USD1 juta dalam bentuk hadiah, biasiswa, perjalanan, bayaran perubatan dan wang tunai kepada 13 ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) serta keluarga mereka bagi mempengaruhi pemilihan tuan rumah Olimpik Musim Sejuk 2002. Skandal itu membawa kepada penyingkiran 10 ahli IOC dan tindakan disiplin terhadap 10 individu lain.

Penganjuran Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, turut dibayangi pelbagai kontroversi.

Pada 2016, pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan berhubung dakwaan USD2.3 juta telah disalurkan oleh Jawatankuasa Bidaan Tokyo kepada syarikat yang dikaitkan dengan Papa Massata Diack, anak kepada bekas Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Lamine Diack. Pembayaran dibuat pada 2013 menimbulkan syak bahawa ia bertujuan mempengaruhi proses pengundian bagi pemilihan bandar tuan rumah Olimpik 2020.

Selain itu, Olimpik Tokyo 2020 berdepan siasatan rasuah dan pengaturan bidaan kontrak yang melibatkan beberapa pegawai kanan penganjur serta syarikat besar Jepun. Lebih 15 individu didakwa dalam skandal ini.

Antaranya, bekas ahli lembaga pengarah Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo 2020, Haruyuki Takahashi. Beliau dituduh menerima bayaran lebih 198 juta yen (USD1.4 juta) daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu mereka mendapatkan hak penajaan dan kontrak berkaitan Olimpik Tokyo 2020.

Skandal kriket Pakistan 2010 – Dunia kriket digemparkan dengan skandal spot-fixing melibatkan beberapa pemain kebangsaan Pakistan semasa perlawanan ujian menentang England di Lord’s, London. Akhbar Britain, News of the World mendedahkan bahawa seorang ejen pemain, Mazhar Majeed, menerima bayaran £150,000 sebagai balasan bagi mengatur pemain supaya melakukan ‘no-ball’ pada masa yang ditetapkan.

Dalam kes ini, kapten Pakistan (ketika itu), Salman Butt, bersama dua pemain lain didapati bersalah atas kesalahan rasuah dan penipuan. Mereka dikenakan hukuman penjara dan digantung daripada menyertai pertandingan kriket antarabangsa.

Skandal Calciopoli 2006 – Skandal mengatur perlawanan melibatkan pasukan gergasi Itali, Juventus ini berlaku sekitar 2006.

Pihak berkuasa Itali melakukan siasatan berhubung dakwaan beberapa pegawai bola sepak, termasuk bekas pengurus Juventus, Luciano Moggi dan Antonio Giraudo, telah mempengaruhi pelantikan pengadil untuk memberi kelebihan kepada kelab tertentu.

Akibatnya, kejuaraan Juventus dalam Serie A musim 2004/2005 dan 2005/2006 dibatalkan. Seterusnya, Juventus diturunkan ke Serie B bagi mengharungi musim 2006/2007. Beberapa kelab lain, termasuk AC Milan, Fiorentina dan Lazio dikenakan hukuman pemotongan mata.

Skandal rasuah dalam sukan Malaysia

Rasuah bola sepak Malaysia 1994 – Sekitar 1994, bola sepak Malaysia gempar dengan skandal rasuah dan aktiviti mengatur perlawanan oleh sindiket perjudian membabitkan pemain, jurulatih dan pegawai bola sepak.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia dan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) menjalankan siasatan secara besar-besaran terhadap 126 individu.

Hasil siasatan, puluhan pemain dan jurulatih dikenakan tindakan disiplin. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung 58 pemain dan jurulatih. 21 individu dipecat daripada pasukan masing-masing. Beberapa individu turut dikenakan larangan seumur hidup daripada terlibat dalam aktiviti bola sepak.

Terdapat beberapa lagi kes rasuah dalam bola sepak Malaysia. Contohnya, pada 3 Februari 2014, FAM mendenda 17 pemain pasukan Kuala Lumpur sebanyak RM5,000 setiap seorang, selepas mengaku bersalah kerana terbabit rasuah dan mengatur perlawanan.

Rasuah dalam badminton – Pada 1 Mei 2018, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menggantung dua pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang daripada menyertai sebarang kejohanan, selepas didapati bersalah kerana rasuah dan mengatur perlawanan. Kesalahan dilakukan sejak 2013 dan melibatkan beberapa kejohanan penting.

Zulfadli digantung 20 tahun dan didenda RM98,000, sementara Chun Seang digantung 15 tahun dan didenda RM58,900.

Penyelewengan dana sukan – Pada 2016, seorang bekas Setiausaha Bahagian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di mahkamah atas 96 pertuduhan salah guna kuasa, tuntutan palsu dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM38.4 juta.

Pada 6 Julai 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah atas semua pertuduhan dan dihukum penjara 15 tahun serta didenda RM284.2 juta. Kesalahan berlaku antara 2012 hingga 2015, melibatkan dana KBS yang sepatutnya digunakan bagi pembangunan sukan dan atlet negara.

Lima bentuk lazim rasuah dalam sukan

Berdasarkan pelbagai skandal yang berlaku, disimpulkan bahawa terdapat lima bentuk rasuah yang lazim berlaku dalam dunia sukan.

Pertama, pengaturan keputusan perlawanan atau match-fixing. Bentuk rasuah ini paling lazim berlaku dalam dunia sukan dan selalunya didalangi sindiket perjudian antarabangsa.

Kedua, rasuah melibatkan pengadil. Pengadil mempunyai kuasa besar dalam menentukan perjalanan sesuatu pertandingan dan sering menjadi sasaran pihak tertentu yang ingin mempengaruhi keputusan perlawanan.

Ketiga, penyalahgunaan dana dan penajaan. Bentuk ini berlaku apabila pegawai atau pengurusan organisasi sukan menyalah guna dana pembangunan sukan, geran kerajaan atau tajaan korporat.

Keempat, rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak, hak komersial dan penajaan. Selain pertandingan di padang, aktiviti komersial seperti hak penyiaran, pemasaran, penajaan, pembekalan peralatan dan kontrak penganjuran turut menjadi sasaran rasuah.

Kelima, rasuah dalam pemilihan tuan rumah kejohanan. Kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Olimpik melibatkan nilai ekonomi yang sangat tinggi. Terdapat risiko berlakunya rasuah dalam proses pemilihan negara tuan rumah.

Tingkat tata kelola pengurusan sukan negara

Usaha membanteras rasuah dan pengukuhan tata kelola dalam organisasi sukan perlu dilaksanakan berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Komitmen dan kesungguhan kepimpinan adalah kunci kepada segala usaha. Semua organisasi sukan wajar menubuhkan Unit Integriti, yang bertanggungjawab untuk menggerakkan agenda meningkatkan tadbir urus dan pencegahan rasuah. Latihan integriti perlu dilaksanakan secara berkala kepada semua pegawai sukan dan atlet.

Setiap organisasi sukan wajib mempunyai dasar yang jelas berkaitan konflik kepentingan, dan penerimaan hadiah atau sumbangan daripada pihak berkepentingan.

Saluran aduan berwibawa dan pelaksanaan audit boleh mengesan salah laku yang wujud dalam organisasi. Seterusnya, proses pembuatan keputusan mesti dilakukan secara telus, terutamanya melibatkan perolehan dan pengagihan dana.

Penggunaan teknologi analitik dan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu mengesan corak pengaturan perlawanan serta penyelewengan dana dengan lebih berkesan.

*Mohamad Tarmize Abdul Manaf merupakan Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here