LEMBAGA Tabung Haji (TH) telah mengambil tindakan menghentikan amalan pemberian bonus terlalu tinggi kepada kakitangannya, selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pemberian bonus kini dilaksanakan pada kadar munasabah berdasarkan prestasi kewangan keseluruhan institusi serta pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) TH dan anggotanya.
Menurut beliau, pemberian bonus berkenaan turut tertakluk kepada kelulusan Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan.
“RCI telah mengesyorkan pemberhentian amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan. Ingin dijelaskan di sini, TH telah mengambil tindakan dengan mengamalkan pemberian bonus munasabah berdasarkan prestasi kewangan keseluruhan institusi dan pencapaian petunjuk prestasi utama, TH dan anggotanya,” katanya dalam Sidang Khas mengenai RCI TH di Dewan Rakyat.
Mengenai bonus yang diberikan sebelum ini, Dr. Zulkifli menjelaskan, bonus tinggi yang sebelum ini diberikan tanpa mematuhi peraturan kepada Ahli Lembaga TH Properties telah ditarik balik dan selesai dibayar semula.
Tindakan itu bertepatan dengan syor RCI berkaitan penambahbaikan tadbir urus serta amalan pemberian bonus dalam institusi berkenaan.
Sementara itu beliau berkata, pendeposit TH tidak perlu bimbang mengenai urusan pelunasan zakat kerana ia telah dilaksanakan secara tertib dan berlandaskan hukum syarak.
Katanya, status pelunasan zakat bagi pihak pendeposit adalah sah dan dilaksanakan dengan sempurna.
Menurut beliau, Jawatankuasa Penasihat Syariah TH pada September 2020 berpandangan bahawa pembayaran zakat bagi pendeposit sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
“Keseluruhan operasi dan tadbir urus zakat TH adalah berpandukan Garis Panduan Zakat yang telah diluluskan dan dipantau oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH, yang dianggotai pakar-pakar Syariah dan kewangan Islam.
“TH juga mengambil maklum pengesyoran Jawatankuasa RCI berkaitan perubahan dasar dalam aspek pengurusan haji, khususnya kelayakan haji dan tempoh menunggu giliran haji,” katanya.
Dr. Zulkifli berkata, amalan zakat TH turut dibentangkan dan diperakui Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada Jun 2024 sebelum disembah maklum kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Oktober tahun sama.





