OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun yang terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah, petang semalam berakhir selepas mangsa ditemukan pada pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa ditemukan pada jam 10.59 pagi oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bersama pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Katanya, mangsa ditemukan ketika pasukan meneruskan pencarian menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan penyelaman.
“Pengecaman telah dilakukan oleh ibu bapa mangsa dan disahkan benar. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Serdang.
“Operasi ditutup sepenuhnya pada jam 12.20 tengah hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pencarian mangsa diperluaskan sehingga melebihi lapan kilometer mengikut arah arus sungai yang laju dan dibahagikan kepada tiga sektor.
“Sektor A meliputi jarak 300 meter, Sektor B sejauh dua kilometer manakala Sektor C melebihi lapan kilometer menghala ke Sri Muda dan Sungai Kandis.
“Pencarian dilakukan menggunakan bot JBPM menerusi kaedah open surface searching serta penyelaman,” katanya.
Beliau berkata, operasi turut berdepan cabaran termasuk arus sungai yang deras serta kebimbangan hujan di kawasan hulu yang boleh menyebabkan aliran air bertambah laju.
“Selain itu, terdapat beberapa kawasan yang menjadi jeram semula jadi menyebabkan bot tidak boleh melaluinya dan terpaksa dipindahkan menggunakan treler,” katanya.
Operasi turut dibantu pasukan PPDA dari BBP Shah Alam, BBP Pelabuhan, BBP KLIA dan BBP Puchong.
Mangsa sebelum ini dilaporkan terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika bermain bersama rakan-rakannya berhampiran sebuah pasar raya di Persiaran Subang Indah.
JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 8.06 malam sebelum jentera BBP Subang Jaya tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.




