SEKURANG- kurangnya lima orang disahkan maut, manakala 41 lagi masih hilang selepas sebuah feri, KMP Mutiara Sentosa 2, terbakar di perairan utara Kabupaten Sumenep, Madura, Indonesia, hari ini.
Feri yang dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur menuju Makassar, Sulawesi Selatan itu membawa seramai 271 penumpang dan anak kapal ketika kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang belum ditemui.
Ketua Mencari dan Menyelamat Surabaya, Nanang Sigit, berkata sehingga pukul 4 petang (jam 5 petang), seramai 225 mangsa berjaya diselamatkan.
“Setakat ini, seramai 225 orang telah berjaya diselamatkan,” katanya.
Beliau berkata, lima mangsa yang disahkan meninggal dunia masih belum dikenal pasti punca kematian mereka.
“Lima orang disahkan meninggal dunia. Bagi setiap mangsa, kami masih belum mengetahui sama ada mereka terjatuh ke laut, cedera ketika cuba menyelamatkan diri atau akibat faktor lain,” katanya.
Menurut Nanang, syarikat pengendali kapal menerima maklumat awal daripada nakhoda bahawa kebakaran berlaku sekitar pukul 6 pagi WIB (pukul 7 pagi) di kawasan utara Kepulauan Sapudi, Madura.
“Kejadian melibatkan Kapal Mutiara Sentosa 2 yang terbakar di utara Kepulauan Sapudi. Maklumat awal menunjukkan terdapat 250 orang berada di atas kapal ketika itu,” katanya.
Bagaimanapun, jumlah sebenar penumpang dan anak kapal kemudian dikemas kini kepada 271 orang.
Sehingga kini, punca sebenar kebakaran masih belum dikenal pasti. Pasukan SAR sedang giat menjalankan operasi menyelamat mangsa serta memindahkan barangan dari kapal terbabit ke kapal-kapal penyelamat.






