Samseng jalanan tak sempat ‘beraksi’, 31 motosikal disita

KEGIATAN sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai melakukan aksi berbahaya dan membuat bising di Lebuhraya Link Kedua Malaysia-Singapura terbantut apabila 31 motosikal disita dalam operasi awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Saifullah Jaya @ Yahaya berkata, operasi yang bermula pada jam 12 tengah malam itu turut membabitkan pemeriksaan terhadap 42 motosikal dan 50 individu.

Menurutnya, semua individu diperiksa terdiri daripada 48 lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 15 hingga 28 tahun.

“Sebanyak 31 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan.

“Antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, ubah suai ekzos, nombor pendaftaran fancy, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengeluarkan 75 saman atas pelbagai kesalahan berkaitan spesifikasi kenderaan yang dikesan sepanjang operasi berkenaan.

Katanya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri susulan kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang menjadikan Lebuhraya Link Kedua sebagai lokasi melakukan aksi berbahaya serta mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Saifullah berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Iskandar Puteri.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang memenuhi spesifikasi ditetapkan demi keselamatan bersama.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here