SEBUAH lori dilaporkan terbalik dalam kejadian di Kilometer 12.2 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Damansara, hari ini, menyebabkan tumpahan minyak dan laluan terhalang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.56 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 3.24 petang.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah lori milik sebuah rangkaian runcit terbalik dan menghalang jalan raya.
“Mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian bahu kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak telah dijalankan oleh pihak pengurusan lebuh raya, manakala pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi.
“Operasi melibatkan empat anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Petaling Jaya,” katanya.
Katanya, operasi ditamatkan selepas keadaan disahkan selamat dan pasukan kembali ke balai.


