KEGIATAN menyeleweng Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM57,638 terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Ketil, Baling, semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira jam 1 petang itu membawa kepada penyitaan 30 tong LPG bersubsidi berkapasiti 14 kilogram (kg), 10 tong LPG industri berkapasiti 50kg, 17 hos serta sebuah lori.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pemindahan LPG bersubsidi yang dipercayai sedang dipindahkan ke dalam tong LPG industri 50kg di atas sebuah lori.
“Ketika serbuan dilakukan, tiada individu ditemui di tempat kejadian dan suspek dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa,” katanya.
Muhammad Nizam berkata, lokasi di kawasan ladang kelapa sawit itu dipercayai sengaja dipilih pihak tidak bertanggungjawab bagi mengelakkan kegiatan berkenaan dikesan pihak berkuasa.
Katanya, jumlah keseluruhan sitaan dalam serbuan itu dianggarkan bernilai RM57,638.
Beliau berkata, KPDN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan LPG bersubsidi berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122],” katanya.





