MAHKAMAH Rayuan mengekalkan dua hukuman penjara 30 tahun terhadap seorang bekas pensyarah kerana melepaskan tembakan ketika rompakan bank dan membunuh pemandu sebuah syarikat kawalan keselamatan.
Hakim Datuk Noorin Baharuddin ketika menyampaikan keputusan sebulat suara panel, menolak rayuan pendakwaan untuk meningkatkan hukuman terhadap Chia Kong Wee bagi kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Chia mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi kerana melepaskan satu das tembakan di sebuah bank di SS15, Subang Jaya, pada 3 Sept 2020 ketika rompakan, serta membunuh Aiman Hakim Zakri, seorang pemandu, di luar sebuah lagi bank di Taman Puchong Prima pada 11 Mac 2022.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bagi setiap kesalahan, yang diperintahkan berjalan secara berturut-turut mulai 6 Ogos 2025. Dia turut diperintahkan dikenakan 12 sebatan bagi setiap kesalahan, lapor FMT.
Pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zain Ibrahim, hari ini memohon mahkamah meningkatkan hukuman bagi kesalahan senjata api kepada sekurang-kurangnya 35 tahun penjara dan menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh Aiman.
Bagaimanapun, peguam bela Rafique Rashid Ali berkata hukuman penjara panjang dikenakan terhadap Chia sudah memadai untuk memastikan anak guamnya terus berada di penjara sekurang-kurangnya 90 tahun.
“Dia tidak akan dapat melihat kebebasan,” katanya.
Noorin berkata tiada keperluan untuk Mahkamah Rayuan campur tangan terhadap hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
“Kami berpuas hati bahawa hakim Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman bagi mengelakkan hukuman yang jelas keterlaluan,” katanya.
Noorin turut berkata hakim mengambil kira Chia mengaku bersalah dalam dua lagi kes, yang juga membabitkan pertuduhan bunuh dan senjata api, dan dia turut dihukum penjara 60 tahun serta 12 sebatan.
Turut bersidang dalam panel rayuan itu ialah Hakim Datuk Radzi Abdul Hamid dan Dean Wayne Daly.


