MALAYSIA menyatakan solidariti bersama Arab Saudi dan mengecam sekeras-kerasnya serangan Houthi terhadap negara itu, termasuk serangan yang menyasarkan orang awam serta infrastruktur awam.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Malaysia menyokong usaha Arab Saudi mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya serta keselamatan penduduknya.
“Malaysia menyokong usaha Kerajaan Arab Saudi untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya, serta keselamatan penduduknya, selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
“Malaysia turut menyokong segala usaha ke arah meredakan ketegangan dan segera menamatkan konflik,” kata Wisma Putra.
Wisma Putra menegaskan, Malaysia kekal komited untuk terus memperkukuh kerjasama berkenaan demi kepentingan bersama kedua-dua negara.
Semalam, Houthi mendakwa Arab Saudi melancarkan 28 serangan udara dalam tempoh 24 jam yang menyasarkan wilayah Taiz, Al-Jawf dan Marib.
Arab Saudi pula mendakwa Houthi melancarkan peluru berpandu balistik ke arah Riyadh pada waktu Subuh Sabtu, selepas kebakaran tercetus berhampiran lapangan terbang antarabangsa ibu negara itu.
Houthi yang menguasai sebahagian besar kawasan berpenduduk di Yaman turut melancarkan gerakan untuk menguasai seluruh pantai Laut Merah negara itu, termasuk Selat Bab al-Mandab yang menjadi laluan perkapalan strategik.





