MALAYSIA mahu hubungan perdagangan minyak sawit dengan India diperkukuh daripada sekadar hubungan pembeli dan penjual kepada kerjasama strategik meliputi pelaburan, inovasi dan pembangunan produk hiliran bernilai tinggi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, India kekal sebagai pembeli terbesar minyak sawit Malaysia selama 13 tahun berturut-turut, mencerminkan hubungan kukuh yang terjalin antara kedua-dua negara.
Katanya, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, import minyak sawit Malaysia oleh India melebihi 2.26 juta tan, meningkat 40 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Hubungan kita boleh berkembang daripada sekadar pembeli dan penjual kepada satu perkongsian yang mencipta nilai bersama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Globoil India 2026 di Mumbai, hari ini.
Menurut Noraini, Malaysia mencatat pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 20.28 juta tan pada 2025, manakala eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit menjana kira-kira AS$28.1 bilion.
Beliau berkata, lebih 80 peratus pengeluaran sawit Malaysia dieksport, sekali gus menjadikan negara komited untuk terus menjadi pembekal yang dipercayai kepada pasaran utama seperti India.
Noraini berkata, potensi kerjasama kedua-dua negara turut terbuka luas dalam sektor hiliran, termasuk oleokimia, lemak khusus dan bahan ramuan berasaskan sawit.
Katanya, India mempunyai pasaran pengguna dan kapasiti pembuatan yang besar, manakala Malaysia pula mempunyai pengalaman luas dalam industri oleokimia serta produk hiliran sawit, sekali gus mewujudkan ruang untuk pelaburan bersama dan pembangunan produk baharu.
Beliau berkata, kajian pasaran oleokimia berasaskan sawit di India yang dilaksanakan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut menunjukkan permintaan terhadap bahan berkenaan semakin berkembang, khususnya bagi produk penjagaan diri dan kegunaan isi rumah.
Dalam masa sama, Malaysia kekal memberi perhatian kepada aspek kelestarian industri sawit menerusi pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan di seluruh rantaian nilai sejak 2020.
Noraini berkata, Malaysia turut meningkatkan produktiviti melalui penanaman semula, mekanisasi, automasi dan pemantauan digital, selain memanfaatkan sisa sawit bagi penghasilan biogas, baja bio serta produk bernilai tambah.
Beliau turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap National Mission on Edible Oils – Oil Palm yang dilaksanakan India, selain menggalakkan kerjasama lebih erat antara syarikat, persatuan industri dan institusi penyelidikan kedua-dua negara.
Menurutnya, kerjasama berkenaan boleh diperluas melalui pertukaran kepakaran, kajian bersama serta pembangunan teknologi dan produk baharu.
Noraini berkata, Malaysia akan terus komited membekalkan minyak sawit dan produk berasaskan sawit berkualiti serta dihasilkan secara mampan, selain memperkukuh hubungan dengan India menerusi perdagangan, pelaburan, inovasi dan perkongsian pengetahuan.





