SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman di Istana Hinggap Perak di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.
Pertemuan itu antara lain memberi ruang kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM menyembah maklum perkembangan semasa suruhanjaya berkenaan serta usaha yang sedang dilaksanakan dalam memperkukuh agenda pencegahan rasuah.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, dalam sesi menghadap berkenaan, Sultan Nazrin turut berkenan menerima sembah taklimat berkaitan beberapa inisiatif SPRM dalam menangani gejala rasuah serta mempertingkatkan amalan tadbir urus yang baik.
Abd Halim menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas perkenan Sultan Nazrin menerima menghadap serta meluangkan masa mendengar taklimat mengenai peranan dan perkembangan terkini SPRM.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan dan sokongan Sultan Perak terhadap usaha membanteras rasuah secara berterusan.
Menurutnya, komitmen berkenaan penting dalam memastikan usaha memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus dapat terus diperkasakan.





