DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan, aktiviti penternakan babi tidak boleh dijalankan secara sewenang-wenangnya tanpa kawalan ketat terutama berhampiran kawasan penempatan penduduk.
Perdana Menteri berkata, pandangan yang dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu itu adalah berasas susulan pelbagai ‘keterlanjuran’ yang berlaku sehingga menjejaskan kesihatan awam.
“Tuanku Sultan Selangor berkenan mengemukakan pandangan kerana apa yang berlaku sekarang terlalu banyak keterlanjuran, menjejaskan kesihatan awam dan kurang pengawalannya,” katanya dalam sidang media pada penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina hari ini, lapor Astro Awani.
Menurut Anwar, beliau secara prinsip tidak bersetuju penternakan khinzir dibangunkan tanpa kawalan termasuk terlalu hampir dengan kawasan penempatan penduduk.
“Pada prinsip saya tidak setuju umpamanya penternakan khinzir itu di mana-mana (penempatan)… mesti kawalannya ketat, mesti kawasan yang jauh daripada penduduk.
“Bukan sahaja penduduk Muslim, penduduk Cina pun tidak mahu duduk di kawasan tersebut, jadi biar jauh sedikit…itu satu,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi penternakan juga perlu menggunakan teknologi moden serta memberi jaminan tiada pencemaran berlaku.
“Kedua, teknologi itu mesti canggih. Selain itu, jaminan pencemaran… maknanya tidak berlakunya pencemaran,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar mengakui sukar bagi kerajaan untuk menyekat sepenuhnya industri tersebut sekiranya pengusaha mampu memenuhi syarat ketat ditetapkan.
“Kalau ada syarikat yang boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat itu, tentunya bagi pihak kerajaan sukar untuk mengatakan tidak boleh,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan telah meneliti perkara itu dan beliau akan menghadap Sultan Selangor bagi memohon perkenan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara kebimbangan utama dibangkitkan ialah kewujudan ladang penternakan berhampiran kawasan kampung dan perumahan termasuk di Klang.
“Ini sebabnya, sementara waktu noktahlah dulu,” katanya.
Media semalam melaporkan, Sultan Sharafuddin menegaskan pendirian baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Ketegasan tersebut selaras dengan kenyataan rasmi yang pernah dizahirkan baginda sebelum ini berhubung larangan terhadap industri penternakan berkenaan di Selangor.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah pendirian itu dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran pada tanah, udara dan risiko pencemaran sumber air melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.


